Showing posts with label Articles. Show all posts
Showing posts with label Articles. Show all posts

Tuesday, May 29, 2007

BUDAYA PENYELENGGARAN JADIKAN AMALAN

Sudah hampir sebulan kita didendangkan dengan isu penyelenggraan bangunan kerajaan namun isu tersebut semakin terus hangat diperkatakan sehingga menenggelamkan kehangatan isu kenaikan gaji kekitangan awam yang diumumkan YAB Perdana Menteri kita baru-baru ini. Bermula dengan runtuhan siling di Putrajaya, kebocoran siling di Parlimen, kebocoran paip air di Kompleks Mahkamah Putrajaya dan yang terbaru runtuhan 20 keping siling di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Isu ini bukanlah satu isu yang baru apatah lagi kita pernah berhadapan dengan kejadian yang lebih besar pada tahun 1993 ketika kondominium Highland Tower runtuh menyembah bumi. Kita sepatutnya sudah belajar daripada kesilapan yang berlaku dan mempertingkatkan usaha untuk menanganinya daripada berulang. Lazimnya apabila kes-kes seperti ini berlaku akan bermulalah perang tunding-menunding serta tidak kurangnya ada sesetangah pihak yang mencari alasan untuk menyelamatkan diri.

Masalah ini dapat dielakkan sekiranya budaya penyenggaraan diamalkan di semua premis bangunan tidak kira sama ada bangunan kerajaan mahupun bangunan persendirian. Budaya penyenggaraan bukan sahaja dapat memanjangkan jangka hayat sesebuah bangunan tersebut malahan juga dapat menjimatkan kos pengoperasian melalui penyenggaraan bersepadu.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penyenggaraan hanya melibatkan kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan malah tidak kurang juga yang beranggapan bahawa penyenggaraan itu adalah kerja-kerja penambahan pada bangunan serta kerja-kerja mencantikkan bangunan. Tanggapan tersebut bukanlah satu tanggapan yang salah dari perspektif skop kerja. Namun perspektif ini berbeza sekiranya dilihat dari sudut fungsi serta matlamat penyenggaraan yang lebih menekankan aspek pencegahan sesuatu kerosakan daripada berlaku.

Amalan penyenggaraan ini perlulah dilakukan secara optimum oleh pihak-pihak yang kompeten. Secara am kerja-kerja penyenggaraan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja namun untuk pengurusan penyenggaran yang efektif, kerja-kerja ini sepatutnya dilakukan oleh Juruukur Bangunan. Sudah sampai masanya profesion Juruukur Bangunan ini diketengahkan bagi menguruskan kerja-kerja penyenggaraan bangunan terutamanya bangunan-bangunan yang dimiliki oleh kerajaan.

Tidak perlulah kita melihat jauh sehingga ke negara Eropah , cukuplah sekadar melihat jiran kita iaitu Singapura yang telah mengiktiraf profesion Ukur Bangunan ini sebagai satu profesion yang berkredibiliti dalam industri pembinaan mereka. Kita masih belum terlambat kerana profesion Ukur Bangunan ini diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di bawah gred J41 dan J29 malah terdapat beberapa universiti tempatan yang menawarkan kursus Ukur Bangunan ini.

Keadaan tidak akan berubah sehingga budaya tunggu dan lihat ini dikikis dari mentaliti seluruh rakyat Malaysia. Bukanlah niat saya di sini untuk menyalahkan mana-mana pihak apatah lagi di saat Negara kita bakal menyambut ulangtahun perayaan kemerdekaan yang ke-50 Ogos ini. Kita mungkin akan tersenyum bangga apabila orang yang kita sayangi terkorban untuk harga sebuah kemerdekaan namun adakah kita mampu untuk tersenyum jika orang yang kita sayangi gugur dalam runtuhan bangunan yang tidak dijaga.

Sunday, May 27, 2007

SIRI KENALI JURUUKUR BANGUNAN : SIRI 1 (PENGENALAN)

ABSTRAK

Lazimnya di dalam sektor pembinaan kita seringkali mendengar profesion-profesion seperti Arkitek, Jurutera, Jurukur Bahan, Penilai, Kontraktor, Perancang dan Jurukur Tanah diperkatakan namun jarang sekali kita mendengar tentang profesion Juruukur Bangunan. Walaupun terdapat sebahagian daripada kita yang mengetahui tentang profesion Ukur Bangunan namun tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian besar yang masih belum mengetahui dan mengenali profesion ini. Malah terdapat juga segelintir mereka yang tidak pernah mengetahui bahawa profesion ini wujud. " Siapakah Juruukur Bangunan ini? Apa sumbangan mereka? Apa kaitan Juruukur Bangunan dengan industri pembinaan negara kita? " Mungkin ini sebahagian besar daripada persoalan-persoalan yang sering diutarakan oleh kebanyakan kita diluar sana apabila diajukan soalan yang berkaitan dengan Ukur Bangunan. Walaupun telah lebih sepuluh tahun profesion ini bertapak di Malaysia, namun ianya masih belum cukup popular untuk dikenali. Berbeza di kebanyakkan negara-negara Eropah yang meletakkan profesion ini sebagai penghulu kepada profesion-profesion sektor pembinaan yang lain, Juruukur Bangunan dipandang sepi di negara kita. Pernahkah kita terfikir mengapa terdapat bangunan yang bermasalah sedangkan bangunan tersebut baru sahaja beroperasi. Lebih menyedihkan perkara ini sering terjadi kepada bangunan-bangunan kerajaan. Apakah terdapat kelemahan semasa proses pembinaan atau pemilihan bahan yang kurang bermutu, atau mungkin juga takdir tuhan telah menentukan naik bangunnya sesebuah bangunan itu. Siapakah yang bersalah dan siapa pula yang akan mengaku bersalah? Kepada siapa yang harus dipertanggungjawabkan atas kesilapan ini. Mungkin sekali lagi kita akan didendangkan dengan lagu "Bangau oh Bangau" yang asyik memberikan alasan "itu" dan "ini", "begitu" dan "begini". Perkara seperti ini sebenarnya dapat dielakkan sekiranya pemantauan sebelum, semasa dan selepas pembinaan dilakukan dengan rapi. Malangnya pemantauan seperti ini tidak berlaku dan lebih memburukkan keadaan kebanyakkan pemantauan ini dilakukan oleh mereka yang kurang berkelayakan. Maka disebabkan faktor inilah peranan dan tanggungjawab JURUUKUR BANGUNAN ditagih.

bersambung

Wednesday, May 23, 2007

KEPENTINGAN JURUUKUR BANGUNAN TERHADAP KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN

ABSTRAK

Tahun 2007 merupakan tahun bersejarah buat Malaysia yang bakal merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50 pada Ogos yang akan datang. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh negara kita hasil usaha para pemimpin agung yang bertungkus lumus membangunkan negara disamping memelihara kemerdekaan. Pelbagai kejayaan yang telah membanggakan seluruh rakyat Malaysia sepanjang detik 50 tahun kemerdekaan ini telah dicipta. Seiring dengan kejayaan itu kita sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya seharusnya bersama-sama memelihara kedaulatan ini bagi memastikan kemerdekaan terus terpelihara. Kepesatan pembangunan di Malaysia jelas dapat dilihat dari zaman kependudukan penjajah sehingga kini. Tidak dapat dinafikan faktor globalisasi menyumbang sebahagian besar usaha pembangunan Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Namun dalam mengejar kepesatan ini kita seringkali alpa dan leka untuk memastikan aset-aset yang sedia ada dijaga dan dipelihara dengan baik sehinggakan menimbulkan beberapa masalah dinihari. Lantaran itu kita tidak perlu terkejut sekiranya isu-isu panas berhubung kerosakkan, kebocoran, keretakkan dan keruntuhan yang berlaku di bangunan-bangunan awam mahupun bangunan persendirian diperkatakan di sana-sini. Pastinya masalah ini tidak akan terhenti dengan sendiri sekiranya tanggungjawab ini diberikan kepada pihak yang hanya mengejar keuntungan dan publisiti manakala pihak yang berhak dianak tiri.

Kata kunci: Juruukur Bangunan, Kerosakan, Kecacatan, Penyelenggaraan

akan disambung